Sejarah awal Eva Peron

Eva dilahirkan pada 7 Mei 1919, di Los Toldos, sebuah provinsi Buenos Aires. Bapanya, Juan Duarte, merupakan pemilik ladang ternak dan juga bertugas sebagai timbalan jaksa pendamai di sana. Walaupun bapanya berasal daripada keluarga bangsawan dan konservatif tetapi dia tidak pernah berkahwin dengan ibu Eva iaitu Juana Ibaguren. Sewaktu Eva berusia 1 tahun, bapanya telah meninggalkan keluarga Eva untuk pulang kepada keluarganya yang sah. Akibatnya, keluarga Eva seramai lima orang terpaksa melalui zaman kesusahan. Kesukaran ini bertambah serius selepas kematian bapanya pada 8 Januari 1926, akibat kemalangan jalan raya.

Sejak pemergian bapanya, masalah kehidupannya telah menjadi "perjuangan dari hari sehari," seperti yang ditulis oleh Erminda Duarte dalam bukunya "My Sister Evita". Ibunya, Juana Ibaguren sentiasa duduk disamping mesin jahitnya sambil menjahit tanpa henti, tak pernah mengadu atau berehat. "Saya tak ada masa. Sekiranya saya rehat, bagaimana untuk bekerja, bagaimana untuk meneruskan hidup?" (ms. 31). Kakaknya Elisa pula bekerja di pejabat pos dan kakaknya yang lain Blanca telah melanjutkan pelajaran untuk menjadi guru.

Ibunya kemudian telah bertemu dengan kekasihnya yang baru. Bapa tiri Evita ini telah membina sebuah rumah bagi 'keluarganya' di Junin. Demi menambah pendapatan mereka, ibunya telah mengambil keputusan menjadikan rumah tersebut sebagai rumah tumpangan. Gangguan utama bagi Eva dan adik beradiknya adalah panggung wayang yang berhampiran serta melihat kereta api ulang alik ke stesyen dari Buenos Aires. Rancangan asal ibu Eva adalah untuk mengahwinkannya dengan jejaka yang menginap di rumah tumpangannya. Namun, Eva mempunyai rancangan yang berbeza terutamanya selepas berlakon dalam pertunjukan pentas di sekolahnya bertajuk Arriba Estudiantes (Pelajar Bangkit), “sebuah melodrama penuh emosi, patriotik, dengan kibaran bendera.” Selepas lakonan tersebut beliau semakin nekad untuk menjadi seorang pelakon wanita yang terkemuka.

Pindah ke Buenos Aires

Pada usia 15 tahun, Eva Duarte telah berhijrah ke Buenos Aires untuk mencapai cita-citanya sebagai seorang pelakon. Terdapat kontroversi bagaimana beliau pergi ke sana. Versi popular mengatakan beliau dibawa ke kota besar itu oleh Agustín Magaldi (inilah versi yang muncul dalam musikal Andrew Lloyd Webber, "Evita"), sementara yang lain mengatakan beliau dibantu oleh ibunya.

Setiba di sana, Eva menghadapi kesulitan untuk bertahan tanpa pendidikan formal dan tanpa mengenal sesiapa. Setelah bertahun-tahun berjuang, akhirnya beliau mendapatkan pekerjaan sebagai pelakon radio dan filem, dan beraksi dalam melodrama murahan serta lipurlara di Radio El Mundo. Sedikit demi sedikit beliau muncul dalam program radio drama sejarah popular Biografi Wanita Agung dan di situ beliau memainkan peranan wanita penting dalam sejarah seperti Ratu Elizabeth I, Sarah Bernhardt dan Tsarina Rusia terakhir. Filem kegemaran peribadinya adalah Marie Antoinette 1938, yang dibintangi Norma Shearer. Kali pertama Eva muncul di layar perak ialah pada Ogos 1937 dalam filem 'Segundos Afuera'. Namun populariti beliau adalah lebih disebabkan pengaruh radio.